Nama                      :    Pusat Internet 1Malaysia Kg Chenor

Fasa                       :    Telefony (Fasa 4)

Mula Beroperasi   :    9 April 2013

Dirasmikan Pada  :    7 November 2013

 

Perasmi                 :    YB Dato’ Shahaniza Shamsuddin

                                        EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga,

                                        Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang,

                                        Merangkap ADUN KUALA SENTUL

 

Alamat                   :    Pusat Internet 1Malaysia Kg Chenor

                                        Pejabat JKKK Kg. Chenor, 28100 Chenor

                                        Pahang Darul Makmur

 

Latitude: 3 29 7 N             Longitude: 102 34 8 E

 

 Pencapaian:

 

Tahun 2013

  • Salah sebuah Pusat Internet 1Malaysia terbaik Negeri Pahang bagi Program Klik Dengan Bijak (Anugerah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia).
  • Melebihi sasaran dalam Program Asas Media Baru dan merangkul Tempat Pertama bagi Pusat Internet 1Malaysia kendalian TM seluruh Malaysia bagi Fasa 4.

 

Tahun 2014

  • Menjadi Pusat Internet 1Malaysia Terbaik Seluruh Pantai Timur bagi jumlah Program Klik Dengan Bijak (Anugerah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia).
  • Keahlian Tertinggi bagi Pusat Internet 1Malaysia Fasa 4 kendalian TM Seluruh Pantai Timur (Jumlah Keseluruhan 2013 & 2014).
  • Menjadi salah sebuah Pusat Internet 1Malaysia dari 20 buah Pusat Internet 1Malaysia terpilih seluruh Malaysia kendalian TM bagi program Corporate Social Responsibility (Sumbangan Kerusi Roda).Johan bagi Pertandingan MerekaCipta poster E-Waste anjuran SKMM Wilayah Pantai Timur.

 

                                                     

 

 

SEJARAH PENEMPATAN

Antara cerita nama CHENOR.

Tengku Hasani Bin Tengku Ahmad yang dilahirkan dan dibesarkan di daerah Chenor ini sejak 1965 mendapat cebisan cerita dari ibu saudara yang lahir tahun 1920an, Tengku Kecik Binti Tengku Nit Bin Tengku Ahmad Tinggi Pesagi.

Alkisah seorang perempuan yang cantik jelita tinggal di satu tempat yang sangat strategik. Sangat budiman. Sesiapa yang melalui kawasan ini yang ditimpa kesusahan atau kepayahan akan singgah di satu tebing dan akan berjumpa dengan seseorang tanpa terperasan sedang berlaku perkara yang tak dijangka seperti setelah diberi pertunjuk atau pertolongan.

Setelah beredar baru tersedar untuk bertanya lebih lanjut tetapi telah ghaib!..

Hanya sempat bertanya nama dengan jawapan lemah lembut…”Che Nor”!

Untuk penduduk di sekitar kawasan sekiranya mempunyai permasalahan (memang nyata) hanya berkata sesuatu yang diperlukan. InshaALLAH..Datanglah esoknya ditempat tersebut akan adalah barang yang dihajati disitu tetapai barang yang biasanya berkaitan kenduri-kendara seperti pinggan mangkuk, kawah atau beras.

Kepada pengguna sungai sebagai jalan utama dari Pekan atau dari Ulu Sungai apabila tiba di kawasan ini samada hari hamper gelap untuk bermalam atau dapat rapat ke tebing kerana karam perahu, akan mendapat bantuan dari seseorang yang sangat rupawan di sini yang bernama Che Nor.

Begitulah serita di sini pada suatu waktu dahulu sehingga kawasan ini terkenal dengan nama sejak zaman ‘tori’(zaman sangat lama dahulu) bernama “CHENOR”.

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui….

Sumber:-Sumbangan artikel daripada Jawatankuasa Perhubungan Penduduk (JPP) Bandar Lama Chenor, YM Tengku Hasani Bin Tengku Ahmad PJM., PKJ., PPS.,PPA.,ISPU.,PBB(Bosnia Herzegovina)

 

Antara Cerita lain;-

Dipercayai nama penempatan Chenor berasal daripada seorang janda bernama ‘Che Nor’.

Menurut kisah orang-orang dahulu, penduduk kampung  gemar ke kedai ‘Che Nor’.

Mereka sering menggunakan dialog:

 

“Mahu kemana tu?”

“Saya nak ke gerai Che Nor”.

 

Apabila penduduk kampung sering menggelarkan gerai ‘Che Nor’, akhirnya  wujudlah lokasi tersebut dengan gelaran “Chenor”.

Sumber:- Temubual bersama penduduk kampung

 

 

Perkampungan Chenor terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu Chenor Lama dan Chenor Baru.  PI1M Chenor terletak di tengah-tengah Bandar Chenor Baru.

Difahamkan oleh penduduk kampung, Chenor Baru adalah kawasan pengumpulan penduduk kampung ketika banjir besar melanda hampir seluruh negara dan juga negeri Pahang serta tidak terkecuali Chenor pada tahun 1971.  Pada tahun 2007, sekali lagi banjir telah berlaku di sini.  Tetapi tidak seburuk seperti tahun 1971.

Menurut perbualan dengan penduduk kampung, Chenor pernah menjadi pusat pungutan cukai yang penting. Walau bagaimanapun katanya, banyak bangunan asal telah musnah akibat dihanyutkan air banjir dari hulu yang melanda kampung itu ketika banjir besar pada tahun 1971.

 

CHENOR DAN KERABAT DIRAJA

Chenor pada zaman dahulu menjadi tempat persinggahan Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Pahang pada waktu itu.  Baginda Sultan menaiki perahu dari Kuala Lipis ke Pekan dan dari Pekan ke Kuala Lipis.  Baginda akan singgah di Chenor setiap kali dalam perjalanan tersebut dan akan disambut oleh penduduk kampung.

Terletak kira-kira 31 kilometer dari bandar Temerloh dan diberi jolokan Chenor Pekan Diraja, ketika itu makmur dan maju dan penghuninya terdiri daripada pelbagai bangsa. Wujudnya Kampung Raja di situ yang kekal hingga ke hari ini, melambangkan bermastautinnya kerabat istana di situ.

Zaman kegemilangan itu ialah ketika pusat pentadbiran Pahang oleh Residen British terletak di Kuala Lipis di sebelah hulu, manakala istana sultan pula di Pekan di sebelah hilir.

Sebagai antara penempatan awal di Pahang, Chenor juga pernah melahirkan pahlawan terkenal menentang penjajah seperti lagenda Pahlawan Bukit Segumpal.  Mengikut cerita penduduk Chenor, pada masa dahulu, orang-orang Chenor juga terlibat membantu Tok Gajah dalam Perang Kelang di Selangor.

Seorang menteri besar Pahang datangnya dari sini iaitu Orang Kaya Indera Pahlawan Wan Abdul Aziz Engku Abdullah. Pejuang kemerdekaan terkenal Ibrahim Yaakob yang kemudiannya menjadi pemimpin di Indonesia, juga berasal dari Chenor.

Chenor juga melahirkan dua orang Ketua Setiausaha iaitu Datuk Aziz Husin dan Datuk Yusof Yunus. ADUN Chenor, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar. 

Maka, tidak hairanlah jika di Kampung Raja, Chenor, bersemadinya ramai kerabat diraja Pahang serta kubur pahlawan-pahlawan Pahang pada zaman itu

 

                                        Kubur Pahlawan Dan Kerabat Diraja Pahang 

                                                                                       Sumber: Tinjauan Sendiri

Kubur-kubur pahlawan ini telah ditempatkan di satu tanah perkuburan.  Pada masa ini, masih ada lagi kerabat Sultan Pahang yang masih menetap di sini. 

Pada mulanya, Chenor terletak dalam pentadbiran Daerah Temerloh.  Tetapi kemudiannya terdapat lebih kurang 15 buah kampung tradisi di dalamnya dan telah berpindah ke dalam pentadbiran Daerah Maran yang baru diwujudkan hasil cantuman sebahagian Pekan, Kuantan dan Temerloh.

 

RUMAH WARISAN

   

 

 

 Rumah Warisan(Dibina tanpa menggunakan paku) 

 Sumber: Tinjauan Sendiri

 

Gambar di atas merupakan rumah warisan dari kerabat Sultan Pahang sejak zaman dahulu lagi.  Walau bagaimanapun, rumah ini tidak lagi digunakan pada masa ini dan telah dijadikan sebagai pameran.  Rumah ini telah dibina tanpa menggunakan paku, malah bentuk rumah ini adalah berdasarkan rumah Tradisional Melayu Pahang yang mempunyai tiga bahagian, serambi, rumah ibu dan dapur.  Serambi dikhaskan untuk tetamu lelaki bagi tujuan keramaian, mengaji Al-Quran dan solat berjemaah.  Ruangan rumah ibu pula terdapat lima ciri iaitu lorong, pentas, geta, bebalai dan kelek. Rumah warisan ini telah dirasmikan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia pada 2006.

 

MASJID LAMA

 

 

 

Masjid Lama dibina pada Tahun 1939

Sumber: Tinjauan Sendiri

 

 

 

Di Chenor Lama juga terdapat sebuah masjid yang telah berusia hampir 74 tahun, dibina pada 1939.  Masjid ini dikatakan dibina sejak zaman Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar.  Masjid ini juga menjadi tempat persinggahan baginda ketika singgah di Chenor.

 

JETI CHENOR

 

 

Jeti Chenor

Sumber: Tinjauan Sendiri

 

 

 

Jeti Chenor juga merupakan salah satu peninggalan sejarah yang terdapat di Chenor Lama.  Jeti ini banyak mengimbau sejarah penempatan awal di Chenor.  Chenor yang terletak di pinggir Sungai Pahang pernah terkenal dan tercatat dalam sejarah negara sebagai pelabuhan, persinggahan utama, pengangkutan air dan pusat pentadbiran serta perniagaan tersohor ketika sungai menjadi sistem perhubungan utama di negeri ini.  Di sinilah tempatnya Sultan Pahang singgah setiap kali baginda ke Kuala Lipis dan Pekan.  

Walau bagaimanapun, jeti ini tidak digunakan lagi apabila Jambatan Sultan Ahmad Shah dibina dan mula digunakan pada tahun 2004.  Jambatan tersebut telah menjadi perhubungan utama penduduk di sini untuk ke seberang mahupun ke negeri selatan tanah air.

 

JAMBATAN SULTAN AHMAD SHAH

 

 

 

Jambatan Sultan Ahmad Shah

Sumber: Tinjauan Sendiri

 

 

  

BUKIT SEGUMPAL

 

 

Bukit Segumpal & Rumah Peninggalan Pendekar Bukit Segumpal

Sumber: Tinjauan Sendiri

 

 

 

Menurut cerita lisan dari penduduk kampung, di sinilah asalnya Bukit Segumpal sehingga ianya diambil sebagai mukim Bukit Segumpal.  Asal Bukit Segumpal hanyalah kerana kedudukan sebuah rumah yang berada di kawasan lapang.  Menurut dari perbualan dengan penduduk kampung, rumah yang tersergam di tengah-tengah kawasan lapang tersebut adalah rumah peninggalan Pendekar Bukit Segumpal.  Pendekar inilah yang dikatakan membantu menentang penjajah pada masa dahulu.  Difahamkan juga, bukit ini berpenunggu, pada satu ketika dahulu apabila setiap kali berlakunya banjir, rumah tersebut tidak pernah dinaiki air.  Tetapi kini ia hanya tinggal sejarah.  Penduduk di sini menjadikan kawasan ini sebagai tempat penanaman padi, tetapi telah diberhentikan selepas berlakunya banjir besar pada tahun 1971, 2007 dan 2014.

 

BUKIT KERTAU

 

 

Bukit Kertau

(Sumber: Internet - streets-journey.blogspot.com)

 

 

 Bukit Kertau juga adalah sebuah tempat peninggalan sejarah pada zaman pemerintahan British. 

 

 

 

 

(Sumber: Internet - streets-journey.blogspot.com)

 

 

 

Bukit inilah pada zaman dahulu menjadi titik tengah Semenanjung Malaysia dan menjadi tempat rujukan British bagi mengukur kedudukan lokasi di dalam peta.  Dikatakan banyak peninggalan British terdapat di sini. 

 

LAIN-LAIN

Menurut cerita lisan penduduk setempat, di Chenor juga terdapat rel keretapi yang digunakan pada zaman British pada masa dahulu, tempat memancung kepala pada zaman Jepun, kubur-kubur lama yang dikatakan keramat dan banyak lagi.  Tempat-tempat ini tidak dapat diziarahi kerana kawasan tersebut agak jauh ke dalam hutan dan banyak semak samun.